Khamis, 7 April 2011

SUARA EMAS TELAH TUMPUL

bila mana adanya persoalan,
maka lebatlah jawapan
dari pancar-pancar suara,
ada yang betul
ada yang bisa dipakai
ada yang sesat
begitu juga yang sangsi
was-was dan tidak kukuh hujahnya.

jika dibetulkan pemikiran,
bertaburanlah teori-teori baru
berasaskan fahaman yang popular
yang diikut, dibaca dan dinotakan
walau tanpa diolah pada dasarnya
lebihnya orang yang bercakap
diutama dan disanjung,
dalam riuh yang sesat
dan buta di persimpangan.

hari ini
pada waktu kini
bukanlah alas untuk waktu lepas
untuk menujah galah yang padu
membentuk dan menggerak
anak-anak di masa depan
kerna pada wajah kini
orang tua-tua bercakap
pun dikatakan bisu.

bibir mereka bergetar
ada suara kedengaran
tapi tidak difahami
kerana ego dan nafsu
memekakkan telinga
di gelanggang akal
generasi muda.


Mizham K
10.10.2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan