Selasa, 26 April 2011

SUARA ITU ( YANG CUBA MEMIKAT UMAR )

pada malam itu
terdengar dia satu suara
yang tidak tahu dari mana asalnya
namun dia tahu daripada siapa.

lalu dia melafazkan kata-kata hati
agar suara berlalu pergi
dari terus menggodanya
dari terus menggangu dia.

ketika itu dia sedang bertakafur
ketika itu dia sedang bermunajat
ketika itu dia sedang berkhalwat
mendampingi Tuhan Pencipta roh dan jasad.

lalu dia berkata,
“ wahai suara,
jangan kau pancing ku dengan rayuan mu
tidak sekali ku mengikut seruan mu
walau apa janji mu
walau apapun beri mu.”

“ Hangus aku kelak,
dipanggang dan dibakar,
dalam kawah sebenua Jahanam
jika aku taat dan tewas tertunduk pada mu.”

“ pergilah kau wahai suara
sebelum ku bakar mu dengan Kursi yang suci
sebelum kau sakit dicengkam kalam Ilahi
kerna aku khalifah utama di bumi
kerna aku dibekal iman sejati.”


Mizham K
11.11.2000

INDUKSI MEMANGGIL

induksi memanggil
tiada dapat menghalang
satu kepastian menjejak satu pengesahan.

berselerak dalam satu hala destinasi
yang pasti berkelana empat belas mentari.

ungkapan dan ucapan satu ujian
dakapan mesra dicari dalam kelompok yang baru.

usah tertambat pada tali sendiri
kelak diri terpinggir tiada dikenali.

ragam dan gelagat adalah pakaian hari-hari
aksi dan juang dalam khidmat akan terus berbakti.


Mizham K ( dalam kursus induksi )
14.10.2004

KONDUSIF

sejongkol emas tidak menjanjikan bahagia
seketul batu berlumut bukan punca derita.

lautan kesedaran yang menyuluh laluan yang kekal
adalah madah wajar pada pesona alam, pengaruh kuasa dan azam.

songsangnya hati kerana jasadnya mewah
sedang jasad susah, hati tertunduk pada cahaya pasrah.

seruan yang dibalut rohani yang pejal
tidak mungkin basi dengan hasutan
atau cacian zaman yang ditentukan jutaan tangan.

jentera pejuang akan terus bergerak dipukul ombak kondusif
bersama sandiwara di dalam kelambu jiwa sensitif.


Mizham K
10.10.2006

KELAM DAN CERAH

kerana jalan itu kelam
maka aku memilih jalan yang cerah.

kelam jalan itu kerana ku lihat ia hitam
tidak tergambar sebutir cahaya
pada gelanggang pasangan mata.

cerah jalan itu kerana nampak segala-galanya
putih di sekeliling memancarkan penglihatan
walau sekelip mata cuba memejam.

hakikatnya,
apakah cerah itu tandanya bahagia
atau pastikah kelam itu maknanya derita?

aku tidak pasti
masih sangsi pada pandangan ini
kerana kelam dan cerah itu, wujudnya masih di sini
bukan lagi di sana, destinasi abadi.


Mizham K
15.05.2004

Khamis, 21 April 2011

SYAFAAT ( SATU HARAPAN )

minda kosong disedut kudrat jasad yang kaku
tiada daya padu pada takung darah yang mengalir
suara mati di sudut rongga yang kering
kabur pandangan dijajah landasan hitam.

senyap adalah gerak tari dalam ghaib
tangisan hanya mampu dibayangkan insan yang tahu
sedekah bukan lagi harta
kekenyangan bukan lagi makanan
pesona bukan lagi wanita.

setiap detik kelaparan doa
titian amal menyuluhkan cahaya
pohon sedekah melagukan ketenangan
curahan ilmu menjadi payung pelindungan
mengharapkan syafaat yang penuh pengertian.


Mizham K
23.03.2003

ORANG KITA

dulu orang kita tuntut merdeka,
suatu ketika orang kita mengelilingi dunia,
kerap orang kita mencipta nama,
hari itu orang kita takluk antartika,
semalam orang kita terbang ke angkasa,
hari ini orang kita telah berjaya,
besok orang kita mungkin disanjung semua,
semoga orang kita tidak akan terlena,
kerana orang kita mudah terlupa.


Mizham K
11.10.2007

BAYANGAN CINTA

tiada kata dapat diungkapkan
tiada harta dapat diberikan
tiada rasa dapat diluahkan
tiada cinta dapat dibuktikan.

usah terus mengharapkan
balasan rasa dua jiwa
bersama irama yang mengasyikkan
terkapar resah kecundangan.

akhirnya kan tetap sendirian
merana pada sebuah perasaan
pesona bayangan cinta
hanyalah sebuah khayalan.


Mizham K
10.03.2007

BERANGAN

berangan,
usah kau berangan,
mengutip bintang tinggi di angkasa.

berangan,
terus kau berangan,
mencapai bulan jatuhkan ke riba.

berangan,
pasti kau berangan,
si hodoh dambakan seorang perawan.

berangan,
lagi kau berangan,
mengharap jaya tanpa usaha.

makin kuat kau berangan,
kau akan terus berangan.

makin kerap kau berangan,
selamanya kau kan tetap berangan.


Mizham K
02.04.2005

PELAYARAN MISTERI

pelayaran membongkar satu misteri
keegoan menyongsangkan imani
misteri mendedahkan satu puisi.

terpesong keenakan mimpi
membelai seorang puteri,
puteri di lubuk naluri.

tersedar disamping berahi
puteri menjerit irama obsesi,
jeritan memanggilkan mati.

perjalanan menjanjikan ilusi
kenangan pengajaran di abadi
laluan cahaya seri yang tidak pasti.

kicauan burung insani
menghamparkan permaidani
sujud dan takut pada kebesaran Ilahi.

puteri dipaku kaki
tiada gerak bergetar lagi
satu langkah semakin ngeri.


Mizham K
14.04.2003

IRAMA SENDIRI

tercipta kini
satu irama sendiri
tiada sang penyanyi
penari dikunci bumi.

pada satu pelayaran
organisma kehidupan
adalah sutera peninggalan.

mencari jalan kembali
mengibarkan panji emosi,
bahtera membawa janji
nakhoda di haluan sendiri.

laluan itu laluan kesilapan
tersingkap satu kejadian alam
menyajikan malang ke pangkuan insan
ternoda dalam perjalanan malam.


Mizham K
12.03.2002

MISI PRO-BASI

ke mana berlari?
aku masih di sini
aku tertidur lagi.

aku akan berlari
tak akan aku di sini
aku tak tidur lagi.

terbang merpati
bukan misteri,
larinya aku
suatu yang pasti.

mencari aku satu realiti
bukan fantasi atau ilusi
jangan sekadar imaginasi.

aku menjerit lagi
dalam emosi yang sepi
aku memaki lagi
terjebak ku
dalam misi pro-basi.


Mizham K
05.09.1999

SEUTAS JAM TANGAN

seutas jam tangan telah digadaikan
kerana masa menakung kerugian
sepasang mata sentiasa pejam
gapaian wawasan menjadi kelam.

jam tangan itu pernah ku pakai
mengejutkan aku pada detik terbengkalai
mencorak langkah yang kian longlai
menuju impian yang dibelai.

jam tangan sudah berkarat
luputlah harga perlahankan khidmat
walau perjalanan waktu masih tersurat
namun kelekaan mengalunkan nikmat.


Mizham K
12.12.2006

HOUNG TATT ( SEBUAH CYBERCAFE DI JALAN DATO’ KUMBAR )

di ruang yang tertutup dan berpaku
papan berangkai abjad diketik manja
selaju tekak yang kehausan air kelapa.

lena tidak menjadi satu masalah
kerana beban dilangsaikan oleh cermin yang cerah
menyuap nikmat maya menyedapkan hati yang susah.

dinihari rasakan siang
pagi bagaikan malam
dunia menjadi kecil
namun nikmatnya semakin luas.

ada yang tidak tahu di sini
kerana godaan rangkaian merantai kaki
pengetahuan dialur pada satu siaran.

di sini ada sahabat
yang sedang meleraikan kebosanan
mencari ketenangan
pada dasar masalah yang belum selesai.


Mizham K
13.10.2007

Rabu, 20 April 2011

AKU BUDAK KODIANG

sebelas, enam, tahun tujuh puluh enam
aku mula melihat dunia
tapi aku lupa detiknya.
kerna kosong di kotak fikiran,
jasad bayi itulah aku,
yang mula menangis
dan sekumpul masa aku mula merangkak.
peristiwa itu di rumah usang
lorongnya di celah-celah kedai
di pekan yang hingar kerana nat.
pokok-pokok konen segar
dan batang nyiur yang melintang terusan,
nyanyian air menuju sawah
masih tersemat di ingatan.
pada hari kelapangan aku pulang
mengamit kenangan masa lampau
pahit dan manis semuanya di sini
saudara-mara berkumpul di sini
sebelah bapa, sebelah emak, tetap di sini.
di sini ku tiada musuh
di sini pernah ku bermain hingga berpeluh
di sini kasih dan cintaku teguh.
aku budak sini
tetap budak sini
masih budak sini
walau telah berkelana pergi,
Keplu yang ternganga tak bisa dilupai.


Mizham K
11.06.2006

PARAH

ada rupa bagaikan tiada
langkah bagaikan bangkai yang bernyawa.
ada rasa bagaikan debu saja
halusnya bisa bertaburan rata.
ada dia melalaikan kita
sengketa yang parah
menghancurkan semua.


Mizham K
12.12.2002

Selasa, 19 April 2011

CERITA DI BALIK DINDING (LUAHAN CINTA BUDAK INSANIAH)

kalam manis diselit
dalam kawah perasaan yang malu.
rohani yang disemat impian suci
menggigil seperti kesejukan.
ada apakah pada dinding itu?

sedaya peti suara di kerongkong
melipat adunannya,
namun ungkaian kata sekadar bisikan.

tidak nampak sebentuk bayangan
pada kasar pandangan.
bayangnya dikurung dalam peti ingatan
yang akan dilepaskan tatkala bersatu.

apa di balik dinding itu?
bisikan yang berlalu,
dibalas hembusan bayu yang lembut.

membelai dan menyandarkan kias
bahawa ikatan mati tali percintaan,
hanya dengan redha, restu dan akad.


Mizham K
03.03.2007

WAJAH KEBINASAAN

biru, makin membiru,
sinar mentari yang kelam,
makin belenggu.

pilu, kian memburu,
arus yang kini tenggelam,
bukan maksud ku.

haru, masih celaru,
perit yang akan mencengkam,
aku membisu.

aku bersama mu,
mentafsir sinar yang hitam,
di muka pintu.

akan datang sinar yang menjulang,
sisa-sisa yang panjang.
pernahkah kita rasa terhilang,
warisan pada alam?

bukan mudah untuk meyakinkan,
pujangga perjuangan.
bersamalah kita mengingkirkan,
wajah kebinasaan.


Mizham K
01.05.2003

APAKAH ITU AMALAN KEHIDUPAN?

di mana letaknya maruah kita?
apakah di sana,
tempat mainan rasa?

harapan akan jadi kenangan,
kerna setiap usaha,
hanya akan dileka.

apakah salah kita?
insan yang merdeka,
merasa terseksa.

apakah salah kita?
mencari pegangan,
dalam keperitan.

di mana kata janji kita?
adakah dikota,
atau hanya seloka?

adakah bersama pedoman?
setiap langkah kita,
menjanjikan wawasan.

apakah salah kita?
sering mentertawa,
pada erti duka.

apakah salah kita?
menangis di senja,
malam bergembira.

agaknya...
itulah amalan dalam kehidupan.


Mizham K
12.08.2003

SATU NADA IKTIBAR

semalam ada kebuntuan
hari ini segalanya kabur,
takut mula menyapa,
jika kebingungan
bertandang di hari kemudian.

belenggu ini
tidak mungkin dilunaskan
jika diri sekadar memeluk tubuh,
tiada perkasa
dan terus membisu.

kemenangan bukanlah
seperti cerah di siang hari,
yang dihidangkan mentari
dengan cahaya yang ikhlas
tanpa diminta atau diniaga.

impian usah dijadikan mimpi
angan-angan jangan dijadikan khayalan,
realisasikan segenap harapan
dengan taburan benih usaha
yang kental dan sendal,
bersama semburan keyakinan
kepada ketentuan Tuhan.


Mizham K
03.10.2007

Sabtu, 16 April 2011

SEURAT BENANG DI TEMPAT SUJUD

ia bukanlah bisa membatalkan solatku,
kerana itu cuma seurat yang halus.

lingkar putihnya tidak kelihatan
pada pandangan tegak berdiri,
terperasan ia cuma
tika bertasbih disimpang rukuk.

tumpuan ini sedikit diganggu
pada putihnya yang terserlah,
mula berdetik secebis sangsi
bertanyakan ujian Tuhan atau syaitan.

namun iman dan akal menyatu kuat,
sedaya tumpuan dicari kembali,
pastikan perjalanan solat tidak terhenti,
selagi dua salam belum terpateri.


Mizham K
15.07.2007

DI TEBING TINGGI

sebuah buyung telah pecah,
kerna dikejut dentuman
gendang amarah.

petahnya gelombang suara
yang padu mencetus warisan kedana,
pelantar rehat dibuat dari busur yang tajam,
dan sepatu yang dipakai tidak kebal
dari tusukan duri menerjah tumit.

berita yang dilaungkan
dari semangat kelompok yang berani,
sekadar dilayan oleh fatamorgana
sifat manusia yang angkuh,
berdiri di tebing tinggi,
tidak sedar langkah menuju ke curam yang dalam.


Mizham K
11.11.2007

Ahad, 10 April 2011

TARIQ DI BUMI ANDALUSIA

DENDAM YG LAMA TERPENDAM
MENDORONG BANTUAN JULLIAN
MENGUBAH SEJARAH ANDALUSIA (SPAIN)

PANJI-PANJI PERJUANGAN
PAKSI KEBENARAN
HAKIKAT TUHAN PENCIPTA ALAM
MULA MENYERANG

MENGIMPIKAN SYAHID
MELAUNGKAN TAKBIR
TIADA GENTAR
DALAM PIMPINAN SI BABAR YANG GAGAH

ASAL HAMBA MENJADI PANGLIMA
ASAL HINA DISANJUNG PUJA
KENTAL TEMBOK KETAKWAAN
TIADA TAKUT KEMATIAN
PERJUANGAN MENGHANCURKAN KEZALIMAN

BAHTERA PELAYARAN
DIBAKAR, DIMUSNAHKAN
KEHENDAK SENDIRI DI GIBRALTAR
MENYERU,MENIUP SEMANGAT JUANG
“DI BELAKANG LAUT, DI HADAPAN MUSUH”
TIADA RUANG LEPASKAN DIRI,
HANYA KEMENANGAN! ATAUPUN SYAHID!

TARIQ BERAZAM TEKAD
HANCURKAN RAJA DURJANA!
DOA DAN KEYAKINAN
PERISAI DAN SENJATA UTAMA

IBARAT SINGA YANG GARANG
TAJAM AKAL FIKIRAN
ITU BANTUAN DARI TUHAN
KEPADA PEJUANG KEBENARAN

BINASA RODERIC DIBAHAM PERJUANGAN SUCI
KEZALIMAN HILANG, KEGELAPAN LENYAP
KEAGUNGAN MULA BERTANDANG
BERSAMA AGAMA TUHAN YANG SEBENAR
TUHAN YANG SATU, YANG MAHA BESAR
DI BUMI ANDALUSIA.


MIZHAM K
11.11.2009

Khamis, 7 April 2011

BULI DI SEKOLAH ( SALAH SIAPA? )

gelak tawa mula menghujani sebuah kelas sekolah,
disebalik pintu,satu tumpuan terarah
pada wayang ciptaan rakus remaja,
tangisan pula berlagu azab
pada mangsa yang perit menahan sakit.

mereka masih di alam mentah,
namun telah terpapar kezaliman dalam diri mereka,
atau hanya mainan perasaan yang tidak matang.

dendam dikupas dari sebab yang kecil,
tiada perasaan kasihan,
tidak pula fikir akan akibatnya.

apakah yang akan dijawab
oleh ayah dan ibu pemangsa belia itu?
dan apa pula rasa dan kata
waris si mangsa yang dilatu?

cukupkah dengan sekadar maaf?
atau setimpalkah hukum yang bakal diterima?
dibuang sekolah atau dirotan,
atau mungkin ke Henry Gurney?

masyarakat mula menyapa,
guru di sekolah dikata leka,
keluarga dituduh punca angkara.

pemimpin mula menjana idea,
walau ragu jalan hasilnya,
akhlak, akidah bertunjangkan agama
cuma sekadar teori saja.

salah siapa......?


Mizham K
14.06.2006

HIPNOSIS MANUSIA DI SINI


sebatang jalan dikiranya satu jasad yang bernyawa,
bisa menyajikan dusta dan berbicara manis,
pada setiap titik-titik mula itu adanya pancaran sufi,
yang kebal dari dinoda dengan tujahan bara yang pejal.

digenggaman ada satu budaya yang kontang,
buntu dalam tafsirannya untuk mengendongkan faham,
buana kata menyelak satu rahsia,
rupa hipokrit yang membelai benua yang lena,
dan hipnosisnya mula menyerang manusia.


Mizham K
12.11.2007

‘SKILL’ BOLAKU ADA TAPI AKU GEMUK

di padang hijau,
tatkala ku memijaknya,
maka tergamitlah kembali
serumpun kenangan beraksi di atas perutnya.

di zaman budak,
aku mencipta sejarah sendiri,
sebatang jari pernah patah
akibat tendangan derasku,
tuannya si jaga gawang, yang pada matangnya
pernah menyarung jersi UMNO Selangor,
dalam kancah piala FAM dulu.

aku pernah bermain,
dengan mereka yang telah berjaya,
dan mereka yang meyimpan bakat ke hari tua,
atau yang menguburkannya.

letaklah aku di mana sahaja,
tidak bisa semangat ku luntur,
kerna aku dianugerahkan bakat,
setiap posisi, segenap tempat,
di atas padang, aku memang hebat.

ketika ku menjaga gawang,
yang digantung tiraian jala,
mampu ku tepis rembatan Kamal Idris Ali.
dan ketika ku di depan menyerang,
pernahku rembat melepasi
jangkauan Azmi Mahmud.

bila mana tugasku di kawasan tengah,
lorongan bolaku menggolek cantik,
mengegarkan jaring gawang lawan,
dari kaki seorang kawan,
satu ketika penyerang TELEKOM Melaka.

bola dan aku sudah serasi,
bakat orang tua aku warisi,
tersimpan bakat kemahiran sendiri,
‘skill’ yang tinggi cuma secubit mimpi,
kerana gemuk pada alam realiti.


Mizham K
10.09.2004

ITULAH TENTUNYA

sebuah cermin duka
membiaskan bayangan sengsara,
seorang pengemis,
tetap menadah tangan pada ehsan orang,
mengharapkan pemberian yang percuma.

pada lantai yang rapuh dia berdiri,
bagai menantikan detiknya roboh
dan menghumbannya ke tanah yang merdeka,
bersama tiupan bayu dari mega jaya.

garisan sengsara hidup
menggusur kelambu gusar,
dalam cahaya cerah yang terhakis,
melebarkan tekanan.

derita hidup yang fakir
bukan erti pegat sebuah hukuman,
maksum mengukir cebisan dosa,
kerna tali syariat dan suruhan Tuhan
adalah kewajipan setiap makhluk bernyawa.


Mizham K
21.06.2006

MERAH

merah - itulah keberanian
merah - ada pada panji negeriku
merah - simbolik satu amarah
merah - panas api membakar
merah - senjata godaan syahwat
merah - darah yang memercik
merah - mesti berhenti
merah - lambang kejahatan
merah - warna syaitan
merah - penyeksaan abadi
merah - satu perjuangan


Mizham K
12.11.2007

BONDA, DI HUJUNG BATASAN WAKTU

helaian tawa bonda,
menusuk jiwa seorang anak yang berduka,
riang yang bersarang di hati bonda,
bisa menyejukkan bara yang menjamah
hati lara si anak bongsu.

jahil bonda terhadap tekanannya,
kesempitan tiada dirasakan bonda,
kerana usia bonda telah senja,
di hujung batasan waktu,
mendamba segunung kasih sang anak.

ayah yang berjasa
telah lama dijemput pulang,
warkah-warkah doa pada kelompok waktu
menjadi utusan buat ayah di alam sana.
wajah ayah telah terpadam di ingatan bonda,
namun kasih dan cinta tetap bersemadi
dalam jalaran pohon-pohon nyanyuk dan sakit tua.


Mizham K
05.05.2002

PELARIAN

pelarian - aku lari kerana ketakutan
aku lari kerana bersalah
aku lari kerana dikejar.

pelarian - bila negara dicengkam pengganas
bila maruah mula digadai
bila tiada pembela bangsa.

pelarian - lari dari kancah dosa
lari dari dunia penuh noda
lari dari perit sengketa.

pelarian - tak bisa lari dari peranan
tak bisa lari dari ketentuan
tak bisa lari dari perhitungan.

pelarian - tak tentu larinya satu impian
tak tentu larinya satu balasan
tak tentu larinya satu pengakhiran.


Mizham K
15.03.2006

DI SEBALIK NAMA (CORETAN SATU IMPIAN)

M - masih aku mengejar satu impian
O - onak berduri kental direntangi
H - harapan tidak pernah pudar
D - dalam kehidupan iman diisi.

I - indah satu ilmu yang suci
Z - zikrullah berkuntum doa bekalan sejati
H - hindari sesat pada pegangan tauhid
A - akan tetap terpatri satu suratan
M - mengecapi ketenangan luapan imani.


Mizham K
11.06.2000

CIK GU ZAKI (PUISI UNTUK SAHABAT LAMA)

...untuk cik gu Zaki...

terhenti sudah satu pencarian
kerjaya ini ternyata menenangkan hati
mengikat erat cita-cita suci
dalam keringat melahirkan insan seni.

dulu di suasana lain
berpaut pada pohon kerjaya
yang akan ditebang
pabila sudah tegak berdiri.

bakat seni kurniaan azali
diolah pada landasan murni
mampu berkarya sambil mendidik
iringan doa sahabat diiring pasti.

ringkas tonjolan kehidupan
“easy come, easy go” prinsip bekalan sejati
kantung amarah sentiasa dikunci
sejemput ketawa mengundang gelihati.

kenangan mekar di titian temu
yang bisa mengubat duka
pada yang masih berbicara
dalam detik-detik perjumpaan.


Mizham K
17.03.2007

ABANG ( Al-Fatihah)

embun pagi berguguran
menghempas dedaunan kering
seri wajahmu menyemadikan
kenangan abadi.

mekar kuntuman mesramu
dalam kelopak sejarah
suka dan duka
di daerah persaudaraan.

gurauanmu bagai irama
menghibur hati
yang menatang lara,
teguran bagai penawar
menjana perjuangan hidupku.

dalam diriku hanyalah dia
abang di dalam keluarga
pergimu menitiskan air mata
walau hati semaian keras
terlentur layu
merantau mencari haluan.


Mizham K
02.10.2001

BILA MALAM BERTEMU AKU

bila malam bertemu aku
lena di pangkuan bantal nyenyak
menanti juadah mimpi yang indah
kedinginan membelai nikmat khayalan
maka berlagulah nyanyian sunyi
memandang alam dari mata yang pejam
menanti sedar dikejut siang.


Mizham K
15.05.2007

KRISIS

alam krisis
menguningkan minda yang masih dara
bahasa dilelong budaya keldai
jejap diri pada bayangan cermin jazbah
jarum tamak kian menajam
enjutan hipokrasi semakin deras
menyental semak kejujuran
nur dicantum terik kejahilan
siang dihidang gelap
dan malam disuap terang.


Mizham K
21.08.2006

MENIKAM SEJARAH

laksamana pula memerintah istana
pabila bendahara pecah amanah
sultan di julang terkunci suara
permaisuri berpergian kedana
panglima menjerit rakus
hulubalang menyeru tandus
syahbandar melapah kota
rakyat amok menikam sejarah
menadah kelahiran generasi buta.


Mizham K
28.02.2002

BUNTU KESUCIAN

setiap nyawa ada amanahnya
pada detik wajah
tersemat satu rahsia
digenggaman auliya
tak rela keciciran di tanah alpa.

di dasar tebing dakwah
seruan dikumpul
menyebarkan cahaya
melukis pelangi indah.

acap kali tuli bertandang
hadiah jahil pada yang arif
kosongkan waktu
pada kalimah asal
tenggelam di timbusan
naluri yang merdeka.


Mizham K
21.05.2007

PANJI YANG TERKOYAK

bila peti amanah
mula dikendong
oleh mereka yang tertewas,
kira bicara padu
di pelantar kemarau,
terkirimlah satu nota pudar
dan ditegakkan
panji yang terkoyak,
berkecamuk rasa
terbengkalai jaya.


Mizham K
01.03.2004

KAN

kisah sahabat didongengkan
bicara benar didustakan

tinta ilmu dipadamkan
perjalanan hikmah disesatkan

sapaan saudara dimusuhkan
semangat jernih dikeruhkan

bingkai keagungan dipatahkan
utusan mulia diaibkan.


Mizham K
12.11.2001

BEZANYA DI SINI ( KOTA BHARU )

ketika di sini
aku mendongak ke langit biru
mencari apa bezanya
dengan daratan di negeri ku?
pada mulanya
tiada secebis beza dapat kukesan
namun sesaat kemudian
terpaku aku pada segenap rentangan papan
pada setiap kamar niaga di kota ini,
megah tertera tulisan jawi.

di sini
hidup sekadar di siang waktu
mati terkubur di kala malam
hiburan pada tali lawatan
tiada dihidang kepada khayalan.

di sini
takbir berlagu megah
seruan tarbiah memecah lorong
nasihat Tok Guru memandu rakyat
dakwah disusun segenap tempat
wanita di papan tidak didedah aurat.

di sini
bangsaku bebas menguasai niaga
melaungkan suara, melariskan jualan
asal diberi peluang, pasti tidak dilepaskan
di tepi jalan, di setiap lorong,
setiap sudut deretan bangunan
heboh bertemasyakan niaga,
gerai merata-rata,
riang dan gigih
mereka mencari rezeki.

di sini
secebis beza cuma, namun sepenggal maknanya,
harapan beza ini dapat dikekalkan,
dan menjadi contoh di tempat yang tidak melakukan,
walau bertukar pakaian kerajaan
walau pesat mengalunkan pembangunan,
yang baik dikekalkan,
yang buruk dielokkan.


Mizham K
30.11.2007

SUARA EMAS TELAH TUMPUL

bila mana adanya persoalan,
maka lebatlah jawapan
dari pancar-pancar suara,
ada yang betul
ada yang bisa dipakai
ada yang sesat
begitu juga yang sangsi
was-was dan tidak kukuh hujahnya.

jika dibetulkan pemikiran,
bertaburanlah teori-teori baru
berasaskan fahaman yang popular
yang diikut, dibaca dan dinotakan
walau tanpa diolah pada dasarnya
lebihnya orang yang bercakap
diutama dan disanjung,
dalam riuh yang sesat
dan buta di persimpangan.

hari ini
pada waktu kini
bukanlah alas untuk waktu lepas
untuk menujah galah yang padu
membentuk dan menggerak
anak-anak di masa depan
kerna pada wajah kini
orang tua-tua bercakap
pun dikatakan bisu.

bibir mereka bergetar
ada suara kedengaran
tapi tidak difahami
kerana ego dan nafsu
memekakkan telinga
di gelanggang akal
generasi muda.


Mizham K
10.10.2007

ALOR STAR

ramah dan manis
pada wajah gadis-gadis yang berniaga
layanan mesra dan harganya tidak beban
ciri yang menghiasi Pekan Rabu

sebuah terusan penuh sejarah
laluan balak di sejarah dagang
dari tangan dan keringat Wan Mat Saman
wujudnya masih di hari ini

jelapang sudah tidak kelihatan
namun sawah masih luas terbentang
identiti padi diwarisi kekal
pembangunan semakin menebal

angin dingin menghembuskan tenang
batas ban menuju dangau di tengah bendang
di hidangan kopi yang panas
nikmat pak tani mencicah karas

subur padi kehijauan
matangnya bakal kekuningan
bandar raya seusia moyang
memerah keringat kelahiran pejuang

sungai kedah mengalir tenang
walau jernihnya sudah kekeruhan
kenangan di sini mengukir tenang
selama sahabat tidak kepupusan.

Mizham K
15.12.2007

SELAGI ADA DAYA

penat melayan karenah
yang tidak pernah tidur
pada kenderaan peristiwa
berlalu layu di pesta hari

di anjung ada rezeki
bukan untuk dibeli haloba
bongkar pada jelmaan nyawa
tidak nipis kukuran semangat

mewah mengendongkan harta
pada dedaunan tenaga tajam
tidak cemar pada gelodak jiwa
hiasan cemburu kelahiran azam

cahaya sufi di pencarian
lawannya panahan maksiat
perhitungan tiada padam
selagi roda fana masih berputar

bicara aktif menabur janji
sedang usaha bertualang pasif
bukanlah noda para pewaris
yang kental menafikan diam


Mizham K
09.01.2005

PASTI ADA PERTEMUAN ITU

semenjak kau pergi
aku melagukan sepi
di bawah mendung
pada bumbung sendiri

jiwa disesah waktu yang kejam
pada permainan jiwa yang geram
menanti arus riang
untuk menaksir mimpi yang suram

berkaratkah senjata hati
menuju arah yang tiada pasti?

langkah dan genggam menjadi layu
mungkin kerana racun
yang dicurah pada akal dan emosi
belenggukan satu juang
dalam kawah daya yang lemah

semalam tidak menjadi esok
namun di depan belum tentu
ditinggalkan kenangan lalu

mencari pilu yang tenang
dalam pertemuan kemudian nanti
semoga tidak tersongsang
melangkah jalan yang ditujui


Mizham K
08.12.2007

DI KANTUNG DUKA SEORANG TUA

mereka sedang gembira
dalam kantung duka seorang tua
tersisih di perantauan
heboh permainan mereka di depan matanya.

langit terus berperanan mendung
syahdu sebuah irama
tetap pada sempadan pilu
berkecamuk pabila memandang mereka.

tiada maknakah di hati mereka
untuk merasa keluhan hiba?
walau camar bersimpati
namun mereka tidak melihat.

di simpang itu ada tandanya
tanda-tanda duka seorang tua
bergelut dengan masa mengundang ajal
sedang mereka masih tidak mengerti.


Mizham K
02.12.2007

KERANA KITA

cemar nama kerana kita
rosak bangsa kerana kita
tergadai agama pun kerana kita
kerana kita tak pernah endah
untuk menjaga dan membela
apa yang dibawa
dan apa yang disuara
bagi kita semua sudah basi
pentingkan senang
mengejar rasa mewah
hingga rupa hilang
maruah tiada lagi
kulit nampak cantik dan bersih
tapi tiada isinya
atau busuk dan jijik isinya
semuanya kerana kita.


Mizham K
07.05.2007

HIDUP BERSAHAJA

ini satu permainan
kata sendi cinta
pada dunia haloba
entah sampai bila?

inikah masanya
kita kan bersuara
atau tetap jua
hidup bersahaja?

tiada purnama pada kata-kata
pancaran senja di sempadan siang
warga berdosa janjikan sengketa
dalam kemelut arusan siang.


Mizham K
06.10.2006

BINASA

hari itu pilu
sendu di perjalanan
cinta kian lesu
di hujung kehidupan
lambaian mentari jingga
semakin kelam di pandangan
dan kota-kota suara
menuju abadi kebinasaan.


Mizham K
01.08.2005

ASAS

asas utuh adalah azam
asas kuat adalah tekad
asas hasil adalah modal
asas didik adalah ilmu
asas usaha adalah cita-cita
asas jaya adalah ujian
asas hidup adalah roh
asas mati adalah sakit
asas diri adalah iman.


Mizham K
23.01.2008

GURU PELATIH

setahun halangan
dugaan merancang
siap diri dibekal ilmu
dalam cekal dan tabah hati

dibelenggu tiang jitu
menuju seru alam pendidik
di bawah payung
pengajaran dan pembelajaran

ikrar mentafsirkan cita
lafaz bukan kata
bincang itu pena
semangat bersama
berkumpulan

menanti pengalaman awal
dalam dunia yang baru
pada malam dan siang yang beza
bila kata mula dicurah
ilmu di dada mula dikerah.



Mizham K
25.01.2008

LAKONAN DI TEBING TASIK MELATI

aku dengan dia
di tebing tasik itu
pada satu sandiwara
yang manis di pangkuan melati.

bisa terbongkar satu rahsia
jika ada sepasang mata
menjadi pengintip lakonan ini
sedang tasik terus berlagu sunyi.

ia bukan satu firasat
atau sekuntum hikayat
dalam dongeng mencoretkan hayat,
ini sekadar ayat
menyeru akan azam dan tekad
agar bisakan berbuat
untuk lakonan menjadi hakikat.



Mizham K
15.02.2008

YANG PASTI BEGITULAH

kalau di sini ada tasik,
pastinya pulau-pulau kecil
akan dibentuk,
kerana itu ideanya,
dari otak yang kreatif.

matlamatnya memikat orang,
impiannya pujian bertandang,
walau pasti ditatang,
maksiat yang bisa ditayang.



Mizham K
16.02.2008

DI SUDUT HARAPAN

hidup dalam satu perjuangan

menongkah arus yang dalam

pada pautan secangkir jawapan


cebis-cebis suara yang berteriakan itu

menyerap takut pada harapan bahagia

yang rapuh pada ranting usia


semalam berlalu adalah kenangan

perjalanan yang lurus kian berlopak

dan kenderaan waktu semakin kusut


di sini aku menanti

dalam kembara yang sepi

menagih kasih di lapangan setia.


Mizham K

03.03.2008