Khamis, 7 April 2011

BEZANYA DI SINI ( KOTA BHARU )

ketika di sini
aku mendongak ke langit biru
mencari apa bezanya
dengan daratan di negeri ku?
pada mulanya
tiada secebis beza dapat kukesan
namun sesaat kemudian
terpaku aku pada segenap rentangan papan
pada setiap kamar niaga di kota ini,
megah tertera tulisan jawi.

di sini
hidup sekadar di siang waktu
mati terkubur di kala malam
hiburan pada tali lawatan
tiada dihidang kepada khayalan.

di sini
takbir berlagu megah
seruan tarbiah memecah lorong
nasihat Tok Guru memandu rakyat
dakwah disusun segenap tempat
wanita di papan tidak didedah aurat.

di sini
bangsaku bebas menguasai niaga
melaungkan suara, melariskan jualan
asal diberi peluang, pasti tidak dilepaskan
di tepi jalan, di setiap lorong,
setiap sudut deretan bangunan
heboh bertemasyakan niaga,
gerai merata-rata,
riang dan gigih
mereka mencari rezeki.

di sini
secebis beza cuma, namun sepenggal maknanya,
harapan beza ini dapat dikekalkan,
dan menjadi contoh di tempat yang tidak melakukan,
walau bertukar pakaian kerajaan
walau pesat mengalunkan pembangunan,
yang baik dikekalkan,
yang buruk dielokkan.


Mizham K
30.11.2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan