Rabu, 20 April 2011

AKU BUDAK KODIANG

sebelas, enam, tahun tujuh puluh enam
aku mula melihat dunia
tapi aku lupa detiknya.
kerna kosong di kotak fikiran,
jasad bayi itulah aku,
yang mula menangis
dan sekumpul masa aku mula merangkak.
peristiwa itu di rumah usang
lorongnya di celah-celah kedai
di pekan yang hingar kerana nat.
pokok-pokok konen segar
dan batang nyiur yang melintang terusan,
nyanyian air menuju sawah
masih tersemat di ingatan.
pada hari kelapangan aku pulang
mengamit kenangan masa lampau
pahit dan manis semuanya di sini
saudara-mara berkumpul di sini
sebelah bapa, sebelah emak, tetap di sini.
di sini ku tiada musuh
di sini pernah ku bermain hingga berpeluh
di sini kasih dan cintaku teguh.
aku budak sini
tetap budak sini
masih budak sini
walau telah berkelana pergi,
Keplu yang ternganga tak bisa dilupai.


Mizham K
11.06.2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan