Ahad, 15 Mei 2011

PELAYARAN TINTA

kapal ilmu telah berlabuh
daun-daun nota berguguran
di gelanggang pendidik
suara mula dikacip,
perjalanan mengalunkan irama dedar.

berdedai-dedai jasad mentah
mendakap tega sebuah tenaga
yang dilimpahi keringat manis.

kelompok itu mencari cahaya
di dalam bahtera yang dikunci.
tumpul ditajamkan,
lembut dilasakkan,
supaya semangat diasah kental.

masa dihinggap tua
cabaran sudah ditelan kenyang
hujah menjalar menggoda insan
erti tamat satu pelayaran.


Mizham K
03.09.2007

SEORANG TUA DI KAKI BUKIT (TOK NYANG)

seorang tua di kaki bukit
cahaya lilin menerangi danau usang
tongkat menjadi pemimpin ketiga
raut wajah disirami kedutan.

sungai mengalir mati di terusan
tempat insan tua mencari makan
ikan yang tiada haluan
menjadi sumber kekenyangan.

pawana menghembus lembut
nyanyian unggas jadi hiburan
tenangkan jiwa yang sepi
tenggelamkan rasa yang sunyi.

lorong-lorong sempit di kaki bukit
tiada kesan tapak kaki insan
si tua dilupakan,
belenggu dendam di sanubari,
namun jiwa tetap memahami.


Mizham K
15.07.1997

PUISI UNTUK SEORANG SAHABAT DI SEBELAH KIRI

di mana engkau kini
belum sampai lagi,
apa telah terjadi,
sudah lewati masa dijanji.

tidak akan ku tunggu lama,
kerna ku ada kerja,
bersama memerah keringat mereka,
semangat golongan utama.

jangan engkau perolokkan
satu prinsip perjuangan,
yang lama dipegang,
catitan abadi nenek moyang.

aku pahat satu realiti,
sedang engkau mengukir ilusi,
bicara manis menabur janji,
runtuh ummah kepentingan peribadi.

ikrarmu bersama kami
menyelit agenda sendiri,
cuba memesong agama yang suci,
kelentong dalam karangan kitab sendiri.


Mizham K
11.11.1999

PADA KEBEBASAN ITU

dalam kawah waktu
yang mendidih,
menyentap bicaramanis
seorang pemuka.

biasan warna dunia
merekah dipijak
gergasi kota impian
dalam semak kampungnya.

damai sejati dikunci
oleh rentetan zaman yang kejam,
dialunkan irama suara
yang dibakar kobahnya.

kitar rasa yang tajam
menyatukan koalisi yang berperang,
menuntut bebasnya Kenyalang
yang dicengkam helang garang.
Namun tertujah ke mulut
sang buaya gila kuasa.


Mizham K
16.10.2002

MENGEJAR FATAMORGANA

di sana ada air
yang bisa menghilangkan dahaga
pada hamparan padang yang kering,
peritnya.

langkah makin laju,
larian kaki menghentak bumi
tangan mengayuh angin,
sekuatnya.

jarak tiada berganjak,
walau kudrat mula tersekat
dalam nafas yang kian singkat,
sadisnya.

jejak beranak seribu,
hujan keringat mencurah bumi
air itu bagaikan lari dikejar pemburu,
takutnya.

musafir makin dahaga,
tubuh ditakluk keletihan
kelesuan mencengkam padat,
lemahnya.

tersungkur layu
rebahnya jasad ke arah air itu,
yang masih melambai
musafir malang,
matinya.


Mizham K
08.06.2003

TIADA APA

kosong di tangan kiri
debu berterbangan hinggap
di telapak tangan kanan.

wajah gebu berlagukan mendung
gigi putih pula keliihatan berkarat
kerana apa bisa tertanggung
satu cemaran yang menggugat?

jambatan hidup menyajikan
angan-angan di dalam mimpi
yang tak kesudahan.

bicara mulut begitu manis mengalahkan gula
namun langkah kaki masih sumbang
melagukan irama sendiri.

dimanakah harganya
pada diri seorang insan
yang masih di bawah kelambu ibu bapanya?

apakah masih mengharapkan susu
dari seorang ibu yang kian senja,
atau suap nasi
dari si ayah yang telah tua?


Mizham K
18.08.2006

HAKIKAT KEBENARAN DI SUATU DETIK

bagaikan sesuatu yang kosong
kekhuatiran ini mula melonjak
terkilat pada pandangan khilaf.

mendung kelabu penuh dengan janji
supaya dapat dituang airnya
ke dalam bekas yang bernanah.

nekad hati yang dipajak pusaka riak
mencurah madu yang hancing
ketika panji alam kian rabak.

kenen bangsa perang yang berbisik
di hadapan warga putih
sedaya menarik kembali
kebenaran yang dibenam kaum songsang.

nama yang dijulang menjadi umpan tertawa
insan yang agung disentap cacat
gambaran kabur mula membelit keputihan
agar ia kelihatan hitam
walau hakikatnya itulah kebenaran.


Mizham K
09.11.2004

ANIAYA

katakan warkah itu hanya dongeng
menikam seorang sahabat yang jujur,
pohon-pohon ibadah yang tertanam
di halaman peribadinya
tidak mampu menghalang
ombak fitnah yang garang.

tidur dia di atas tilam berduri
lena dia tidak mampu bermimpi
ujian itu terlalu kuat
dugaan jua teramat hebat
tembok hati digagahkan juga bertahan
sabar menanti detik kematian
kerana kematian itu adalah kebebasan
yakin di sana bahagia akan dijulang
habuan si mangsa dari dunia penganiayaan.


Mizham K
21.09.1999

DI TANGGA WAKTU

di tangga waktu
angin bertiup
menyampaikan khabar sayu.

lautan yang cuak
mula bertakung
di hati yang dimasak waja.

sohor yang kekal
tersorok di lalang hina
pada benua yang terkejut.

jelas menjadi kabur
jejeran kantung ilmu
mengundang ejekan
dalam fitrah kebencian.


Mizham K
18.11.2001

DI SEBATANG JALAN

terkulai layu sepucuk jasa yang padu
kerana alam fana ini tidak sanggup menelannya.

malam persis seorang wanita tua
yang ditinggal anak dan suami,
manusia lena tidak menghiraukannya
pabila siang, malam ditelan sepi.

jendela sejarah ditutup rapi
gerbang sebuah destinasi
menyerlahkan nafsu berahi.

arus yang keliru menjadi penawar
sakitnya pada satu keyakinan
yang merobek dan menguling
paduan tenaga muda
menuju matlamat yang sia-sia.

Mizham K
12.02.2007