Jumaat, 29 Ogos 2014

DI NEGARA ITU


bola mata ini menikam tajam
di permukaan yang terkopak,
buah yang zalim digugurkan
menyapu makhluk berakal.

di singgah sana ada yang melihat
dengan belas dicengkam takut,
suara sudah kekeringan,
minda menjadi kosong.
harapan kabur.
semangat dilangsaikan
dengan kematian.

apa yang ada di gengaman
berselitkan keberanian,
itulah saja perisainya.

barisan celaka yang garang itu
tidak kuat,
namun kekayaan dan teknologi
menjadikan mereka kebal.

aku sekadar mampu menangis,
dalam kelambu doa yang carik.
sabar menanti saat kemenangan,
dan kebebasan mereka,
dari belenggu agen syaitan itu,
di bumi sendiri.


Mizham K
01.08.2005

ANAK-ANAKKU DI BULAN MERDEKA


bulan ini bulan merdeka
sudah makankah anak-anak aku
dengan suapan ilmu dan hirupan sejarah
supaya kenal dan tahu
erti perit untuk mencapai jaya?

semalam aku melihat
golongan muda itu bersuka ria
bersarungkan pakaian penjajah
yang dijadikan fesyen pada hari ini,
mereka bicara tentang merdeka.

aku mula bingung
pandai atau dungukah mereka
untuk menghayati satu erti kemerdekaan
sedang di tubuh mereka
tergambar satu bangsa yang masih dipenjajahan?

itu baru jasadnya,
apa yang  pakainya
belum lagi apa yang ada di minda
apa yang mereka fikir agaknya
sambil gembira menyambut merdeka?

fahamkah mereka tentang merdeka?
pernahkah mereka mendengar cerita orang tua,
membaca rakaman tinta dan pena,
atau sekadar mentafsir mengikut rasa?

aku beritahu pada mereka,
bebas hidup erti merdeka,
tidak dikongkong erti merdeka,
tiada zalim erti merdeka,
hilang penjajah erti merdeka,
sudah berilmu erti merdeka,
kerajaan kita, negara kita erti merdeka,
kita sudah merdeka..!

sayang,
rupanya mereka lupa
leka dalam kejahilan
kerna dipukau budaya penjajah
dalam menyelam maksud merdeka
agama suci sekadar pusaka.


Mizham K
01.08.2007